Ahad, November 23, 2008

lawatan ahli-ahli persatuan ke Kelantan dan Terengganu

oleh kerana laman blog ini baru diterbitkan, persatuan ingin menceritakan serba sedikit aktiviti yang telah di jalankan sepanjang tahun ini. persatuan ingin memulakan dengan menceritakan berkenaan aktiviti lawatan ke Kelantan dan Terengganu oleh ahli-ahlinya baru-baru ini.

Pada 15 hingga 18 Ogos 2008 yang lalu, Pertis Wilayah Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan ke Negeri Kelantan dan Negeri Terengganu. Seramai 27 orang ahli-ahli Pertis Wilayah Negeri Sembilan telah terlibat secara langsung dengan menyertai lawatan tersebut.

Mereka telah bertolak dari bangunan Pertis Wilayah Negeri Sembilan di Jalan Toman 4 jam 9:00 malam 15 Ogos dan tiba di Pantai Cahaya Bulan (PCB) Resort pada jam 11:00 pagi 16 Ogos iaitu keesokan harinya. Di dalam lawatan tersebut, peserta lawatan telah dibawa bersiar-siar sambil membeli-belah di Kawasan Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor serta di KB Mall. Pada sebelah malamnya, mereka berehat-rehat di Resort sambil menikmati keindahan pantai pada waktu malam.

Pada keesokan harinya iaitu pada 17 Ogos, mereka dibawa pula bersarapan pagi dan membeli-belah di Pasar Siti Khadijah, Pusat Bandar Kota Bharu, Bandaraya Islam. Setelah mereka selesai membeli belah, mereka dibawa pula ke Negeri Terengganu atau lebih tepat di Bandaraya Kuala Terengganu, Bandaraya Pesisir Air.

Di Kuala Terengganu, mereka telah dibawa bersiar-siar di Masjid Terapung dan juga di Masjid Kristal. Namun demekian, Masjid Kristal tidak dapat mereka lawati sepenuhnya memandangkan pada tarikh tersebut, pihak Masjid sedang mengadakan persiapan terakhir bagi mengadakan Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa di sana.

Setelah selesai melawat di kedua-dua buah masjid tersebut, mereka di bawa pula ke Pasar Payang untuk meninjau dan membeli-belah barangan menarik yang ada terjual di sana.

Pada jam 6:00 petang, mereka meninggalkan Kuala Terengganu dan pulang semula ke Negeri Sembilan Darul Khusus. Mereka tiba di Negeri Sembilan jam 5:00 pagi, 18 Ogos 2008.

Secara keseluruhannya, lawatan muhibbah yang diadakan ini mampu mengeratkan tali silaturrahim di kalangan mereka dan memberikan pengetahuan dan gambaran tentang keindahan masjid-masjid khususnya Masjid Kristal yang mereka idam-idamkan untuk mengunjunginya sebelum ini. Di samping itu juga, mereka dapat bergembira dengan sanak famili yang mereka bawa bersama dengan membeli belah dan makan bersama serta dapat menghilangkan penat-lelah walaupun buat seketika setelah sibuk dengan kerja-kerja seharian sama di sekolah, pejabat, kedai mahupun di mana sahaja mereka mencari rezeki. walaupun mereka tidak mempunyai daya penglihatan, namun ia tidak menghalang mereka untuk bergiat dan bersosial sepertimana mereka yang mempunyai penglihatan. wallahu a'lam.

salam perkenalan

assalamualaikum dan salam sejhatera kepada pembaca sekalian. di bawah ini adalah serba sedikit mengenai persatuan sebagai pengenalan kepada pertemuan kita.

SINOPSIS PERTIS WILAYAH NEGERI SEMBILAN.

Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Negeri Sembilan merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (Non Government Organization). PERTIS Wilayah negeri sembilan telah ditubuhkan pada tahun 2007. Ia telah berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (Registra Of Organizations) melalui PERTIS Pusat. (No. pendaftaran: 2388). Persatuan ini ditubuh dan ditadbir-kendali sepenuhnya oleh OKU Penglihatan. Ia terletak di No 59-2, Tingkat 2, Jalan Toman 4, Kemayan Square, Seremban. Secara amnya, keahlian PERTIS terbuka kepada semua orang Islam yang beragama Islam dan bertaraf kewarganegaraan Malaysia. Dalam hal ini, terdapat dua jenis keahlian iaitu Ahli Biasa (Ordinary Members) dan Ahli Bersekutu (Associate Members). Pintu keahlian biasa Cuma dibuka kepada OKU Penglihatan, manakala status keahlian bersekutu pula diperuntukkan kepada Bukan OKU Penglihatan. Sehingga akhir bulan September 2008, jumlah keahlian PERTIS Wilayah Negeri Sembilan telah menjangkau ke angka 50 orang. Yuran tahunan yang dikenakan adalah RM 6.00 seorang. Bagi meringankan beban yuran ahli-ahli yang sudah berkeluarga, konsep yuran ahli tanggungan turut diperkenalkan. Sementara itu, ahli-ahli juga boleh memohon taraf Ahli Seumur Hidup iaitu dengan membayar kadar yuran sebanyak RM 50.00 (sekali sahaja).

Pelbagai aktiviti telah dan sedang dijalankan bagi manfaat ahli persatuan ini khususnya di Negeri Sembilan ini. Semenjak ia ditubuhkan, antara aktiviti yang telah dijalankan ialah, mengadakan perjumpaan dengan agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan seumpamanya bagi menyatakan dan memperkenalkan persatuan kepada khalayak umum di Negeri Sembilan, mengadakan Lawatan sambil belajar ke Negeri Kelantan dan Terengganu yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mereka tentang bagaimana aktiviti-aktiviti sosial diadakan di luar, majlis berbuka puasa, majlis sambutan hari raya aidil fitri dan penyampaian sumbangan duit raya kepada ahli-ahli (Warga emas), dan akan datang persatuan ingin mengadakan Bengkel Solat bagi memberikan pendedahan kepada ahli-ahli tentang kefardhuan menunaikan solat secara sempurna. Di samping itu juga, persatuan merancang untuk mengadakan kelas mempelajari al-Quran Braille dan kelas-kelas fardhu ain yang lain dari semasa ke semasa.

Untuk pengetahuan umum juga, sebarang aktiviti/kegiatan yang dijalankan oleh persatuan ini bagi memberikan impak yang positif kepada ahli-ahli ini, kos setiap aktivitinya sepenuhnya datang daripada sumbangan ikhlas dan derma orang ramai yang prihatin. Oleh kerana persatuan ini bersifat islamik dan agak baru di Negeri Sembilan ini, maka dana bagi mengadakan sebarang aktiviti adalah terbatas. Disebabkan itu, pelbagai aktiviti-aktiviti penting yang telah dirancang oleh persatuan agak sukar dilaksanakan lantaran daripada kekangan kewangan yang sedang dihadapi oleh persatuan ini.

Sebarang maklumat berkaitan dengan persatuan ini atau jika anda ingin menyalurkan apa jua sumbangan kepada persatuan, bolehlah menghubungi Pengerusi PERTIS Wilayah Negeri Sembilan iaitu Encik Mohd Hairie bin Aris di talian tangannya: 0122412402 atau mengkreditkan terus sumbangan anda di nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad PERTIS Wilayah Negeri Sembilan iaitu: 05012010065731. Sumbangan tersebut akan digunakan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang akan memberikan manfaat kepada OKU penglihatan Islam di Negeri Sembilan seperti Kelas al-Quran, Ceramah-ceramah berbentuk motivasi dan apa jua program yang difikirkan perlu bagi memberikan manfaat kepada mereka. Segala sumbangan ikhlas anda kepada persatuan kami amatlah kami hargai dan ucapan jutaan terima kasih kami dahulukan. Semoga Allah akan memberikan ganjaran setimpal dengan apa yang telah anda sumbangkan, Insya-Allah.