Sabtu, Januari 31, 2009

AKTIVITI PERSATUAN YANG TELAH DIJALANKAN

Alhamdulillah, pada 20 Muharram bersamaan dengan 17 Januari yang lalu, PWNSDK telah berjaya mengadakan majlis sambutan maal hijriah 1430-nya dengan jayanya. Majlis tersebut telah diadakan di pejabat persatuan ini iaitu di Jalan Toman 4, Kemayan Square, Seremban. Majlis tersebut dimulakan pada jam 11.30 pagi dan dirasmikan oleh Setiausaha Agung PERTIS Pusat yang juga merupakan Penyelaras kepada PWNSDK. Manakala, Penceramah jemputan seperti yang diwarwarkan sebelum ini iaitu Ustaz Mohd Yusof bin Tahir tidak dapat menghadirkan diri lantaran daripada kesihatan beliau yang tidak mengizinkan dan beliau digantikan oleh penceramah yang lain iaitu Ustaz Jasni Bin Ajong yang juga merupakan penceramah dari JAINS.

Ceramah pada hari tersebut berkisarkan sejarah Nabi kita menghadapi ujian dan cabaran sebelum berhijrah ke Madinah al-Munawwarah dan keadaan-keadaan semasa yang berlaku di sekitar Negeri Sembilan yang boleh diambil iktibar dan panduan khususnya untuk para remaja dan juga golongan OKU Penglihatan di negeri ini. Majlis
Tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Setiausaha Agung PERTIS Pusat kepada penceramah serta diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.

Secara Keseluruhannya majlis tersebut dianggap berjaya dengan kehadiran ahli-ahli PWNSDK yang memberangsangkan.
PWNSDK ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian ahli-ahli menghadirkan diri dalam program tersebut. wallahu a'lam

Isnin, Januari 12, 2009

HEBAHAN AKTIVITI PERSATUAN

Sebagai hebahan kepada ahli-ahli PWNSDK, pada hari Sabtu bersamaan dengan 20 Muharram 1430/17 Januari 2009, persatuan akan menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijriah 1430 Hijriah bertempat di Pejabat PWNSDK di alamat berikut:

No 59-2, Tingkat 2,
Jalan Toman 4,
Kemayan Square,
70200 Seremban,
Negeri Sembilan.

Antara pengisian majlis tersebut ialah:

9.00 Pagi : ketibaan para tetamu jemputan.
10.00 pagi : Ketibaan Penceramah Jemputan.
10.20 Pagi : Ucapan Alu-aluan oleh Pengacara Majlis
10.25 pagi : bacaan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim oleh Qari jemputan iaitu Saudara Khairul Azmi bin Mohd Saat.
10.40 pagi : ucapan alu-aluan oleh Pengerusi PWNSDK
10.50 pagi : Ucapan Perasmian yang dijangka akan dirasmikan Oleh Yang Dipertua PERTIS Pusat
11.00 pagi : Ceramah bertajuk “Hijrahkah Kita Pada Hakikatnya?” yang akan disampaikan oleh Yang Berbahagia, al-Fadhil Ustaz Mohd Yusof bin Tahir
dari Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS).
12.00 Tengah hari : Penyampaian Cendera Hati kepada penceramah
12.15 Tengah Hari : Jamuan Makan Tengah Hari.
1.30 Tengah Hari : Solat Fardhu Zuhur secara berjemaah
2.00 Petang : majlis bersurai.

Justeru, ahli-ahli persatuan ini dijemput untuk menghadiri majlis tersebut di mana, majlis tersebut akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Selain itu juga, ahli-ahli persatuan ini bolehlah menjelaskan yuran keahlian tahunan ahli bagi tahun 1430 Hijriah/2009 Masihi ini kepada Bendahari PWNSDK semasa majlis ini berlangsung. Sebagai peringatan kepada ahli-ahli, yuran keahlian untuk ahli biasa ialah RM6.00 sahaja manakala yuran keahlian untuk ahli-ahli bersekutu adalah RM3.00 sahaja.

Kerjasama daripada ahli-ahli bagi menghadiri majlis yang bermanfaat ini amatlah dialu-alukan dan persatuan dahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

Jumaat, Januari 09, 2009

PERBELANJAAN PWNSDK BAGI 2009

Sebagai perancangan bagi menjalankan pentadbiran persatuan ini serta melaksanakan aktiviti-aktiviti persatuan ini bagi tahun 1430 Hijriah/2009 Masihi, persatuan telah merangka kertas kerja bagi memohon sumbangan daripada agensi-agensi kerajaan/swasta, syarikat-syarikat korporat, ahli-ahli yang berhormat, orang-orang kenamaan dan seluruh pembaca blog ini dengan harapan agar kalian semua dapatlah kiranya menghulurkan sumbangan bagi pembiayaan aktiviti-aktiviti persatuan ini dan juga pembiayaan kepada proses pentadbiran persatuan ini.

Berikut adalah disertakan butiran angaran perbelanjaan persatuan bagi tahun 1430 Hijriah/2009 Masihi ini.


KERTAS KERJA PERBELANJAAN
PERSATUAN ORANG-ORANG CACAT PENGLIHATAN ISLAM MALAYSIA
WILAYAH NEGERI SEMBILAN
(PWNSDK)
BAGI TAHUN 1430 HIJRIAH/2009 MASIHI

Pendahuluan

Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Negeri Sembilan atau lebih dikenali dengan PWNSDK merupakan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (Non Government Organization). PERTIS Wilayah negeri sembilan telah ditubuhkan pada tahun 2007. Ia telah berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (Registra Of Organizations) melalui PERTIS Pusat. (No. pendaftaran: 2388). Persatuan ini ditubuh dan ditadbir-kendali sepenuhnya oleh OKU Penglihatan. Ia terletak di No 59-2, Tingkat 2, Jalan Toman 4, Kemayan Square, Seremban. Secara amnya, keahlian PERTIS terbuka kepada semua orang Islam yang beragama Islam dan bertaraf kewarganegaraan Malaysia. Dalam hal ini, terdapat dua jenis keahlian iaitu Ahli Biasa (Ordinary Members) dan Ahli Bersekutu (Associate Members). Pintu keahlian biasa Cuma dibuka kepada OKU Penglihatan, manakala status keahlian bersekutu pula diperuntukkan kepada Bukan OKU Penglihatan. Sehingga akhir bulan Disember 2008, jumlah keahlian PERTIS Wilayah Negeri Sembilan telah menjangkau ke angka 100 orang. Yuran tahunan yang dikenakan adalah RM 6.00 seorang. Bagi meringankan beban yuran ahli-ahli yang sudah berkeluarga, konsep yuran ahli tanggungan turut diperkenalkan. Sementara itu, ahli-ahli juga boleh memohon taraf Ahli Seumur Hidup iaitu dengan membayar kadar yuran sebanyak RM 50.00 (sekali sahaja).

Pelbagai aktiviti telah dan sedang dijalankan bagi manfaat ahli persatuan ini khususnya di Negeri Sembilan ini. Semenjak ia ditubuhkan, antara aktiviti yang telah dijalankan ialah, mengadakan perjumpaan dengan agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan seumpamanya bagi menyatakan dan memperkenalkan persatuan kepada khalayak umum di Negeri Sembilan, mengadakan Lawatan sambil belajar ke Negeri Kelantan dan Terengganu yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mereka tentang bagaimana aktiviti-aktiviti sosial diadakan di luar, majlis berbuka puasa, majlis sambutan hari raya aidil fitri dan penyampaian sumbangan duit raya kepada ahli-ahli (Warga emas). Di samping itu juga, persatuan merancang untuk mengadakan kelas mempelajari al-Quran Braille dan kelas-kelas fardhu ain yang lain dari semasa ke semasa.

Untuk pengetahuan tuan juga, sebarang aktiviti/kegiatan yang dijalankan oleh persatuan ini bagi memberikan impak yang positif kepada ahli-ahli ini, kos setiap aktivitinya sepenuhnya datang daripada sumbangan ikhlas dan derma orang ramai yang prihatin. Oleh kerana persatuan ini bersifat islamik dan agak baru di Negeri Sembilan ini, maka dana bagi mengadakan sebarang aktiviti adalah terbatas. Disebabkan itu, pelbagai aktiviti-aktiviti penting yang telah dirancang oleh persatuan agak sukar dilaksanakan lantaran daripada kekangan kewangan yang sedang dihadapi oleh persatuan ini.

TUJUAN

Kertas Kerja ini bertujuan membentangkan segala maklumat berhubung program-program/aktiviti-aktiviti yang dirancang untuk Ahli-ahli Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Negeri Sembilan Darul Khusus (PWNSDK) bagi memohon bantuan perbelanjaan untuk urusan pentadbiran persatuan serta bantuan perbelanjaan pengurusansegala aktiviti persatuan ini bagi tahun 1430 Hijriah/2009 Masihi.


RASIONAL

1. Urusan pentadbiran persatuan penting bagi menggerakkan persatuan ini demi kemaslahatan ahli-ahli persatuan ini bagi mencapai objektif penubuhannya.

2. Manakala Program-program/aktiviti-aktiviti perlu diadakan bagi merapatkan perpaduan antara satu sama lain serta melalui program yang dirancangkan antara ahli dalam persatuan dapatlah bersama-sama meningkatkan ilmu pengetahuan, memberikan peluang untuk mereka meningkatkan taraf ekonomi mereka dan melatih mereka untuk berdikari sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan golongan OKU yang berdikari dan berdiri samarata dengan rakyat Malaysia yang lain.

3. Secara umumnya semua masyarakat mengetahui bahawa Agama Islam ialah satu agama yang lengkap dan mempunyai ramai penduduk di Dunia tetapi berapa ramaikah umat Islam mendapat tunjuk ajar yang sempurna dan mendapat pendedahan yang berkesan bagi mengisi kehidupan seharian?

4. Menyedari situasi dan hakikat yang berlaku, program/aktiviti yang bermanfaat perlu dirancangkan bagi mengajak seluruh umat Islam bersatu dalam segala hal bagi menuju jalan yangdiredhai Allah.

5. Disebabkan hal yang demikin, tanggungjawab golongan yang berilmu hendaklah bersama-sama menerangkan tuntutan Fardhu Ain kepada umat Islam bagi menyempurnakan tuntutan Fardhu Kifayah kepaada golongan seagama.

6. Justeru itu, pihak persatuan yang beroveantasikan Islam telah mengatur beberapa /aktiviti bagi kemaslahatan para ahli PWNSDK.

7. Melalui aktiviti-aktiviti ini, Pendedahan cara hidup Islam dapat disampaikan terus kepada ahli bagi diamalkan dengan cara yang betul. Oleh itu dapatlah para ahli menyampaikan kepada masyarakat Islam yang lain














OBJEKTIF

1. Memupuk semangat kerjasama dalam komuniti OKU dengan masyarakat Islam yang Lain diantara ahli.

2. Membentuk muslim yang mengerjakan perkara yang diperintahkan Allah dan menginggalkan perkara dilarang Allah.

3. Merapatkan Ukhwah dikalangan umat Islam.

4. Menambahkan Ilmu pengetahuan diantara ahli.


Butiran Perbelanjaan

1. PENTADBIRAN PWNSDK

Sewa Premis PWNSDK = RM 7,800.00.
Upah kerani = RM 3,000.00
Bil-bil Utiliti = RM 4,200.00.
Peralatan Pejabat = RM 6,250.00.
Pengangkutan = RM 2,000.00
Perbelanjaan Mesyuarat = RM 3,100.00
Jumlah = RM 26,350.00

2. AKTIVITI-AKTIVITI PWNSDK

Majlis Sambutan Maal Hijriah 1430 Hijriah = RM 550.00
Ceramah Motivaasi ”Kepentingan Meningkatkan Pendapatan
Diri Mengikut Cara Islam” = RM 550.00
Majlis Sambutan Maulidur-Rasul: = RM 550.00
Bengkel Solat Interaktif = Rm 1,330.00
Forum ”Kesedaran Menghormati Hak Diri Sendiri dan Hak Orang Lain” = RM 770.00
Majlis Ceramah Israk dan Mikraj: = RM 550.00
Majlis Berbuka Puasa = Rm 950.00
Majlis Aidilfitri = Rm 1,300.00
Ceramah Kesihatan “Cara Menangani Penyakit Payu Dara” = RM 550.00
Lawatan Muhibbah Ke PERTIS Wilayah Terengganu = RM 4,400.00
Kelas Pengajian al-Quran Braille = RM 3,600.00
Jumlah = Rm 15,100.00

3. Perbelanjaan Luar Jangka: RM 4,200.00

4. Jumlah Keseluruhan Perbelanjaan PWNSDK bagi 1430 Hijriah/2009 Masihi ialah:
= RM 45,650.00

PENGANJUR
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Negeri Sembilan Darul Khusus (PWNSDK)

KERJASAMA

Mereka yang terlibat menghulurkan sumbangan

SASARAN
Ahli-ahli PWNSDK

PENUTUP
Dengan dana yang disumbangkan oleh pihak tuan yang prihatin, dapatlah kiranya Persatuan ini melaksanakan aktiviti yang telah dirancang oleh persatuan. Pihak persatuan mengharapkan agar aktiviti ini dapat berjalan dengan lancar dan jayanya, Insya Allah.

“UKHWAH MUSLIM, UMAT BESTARI”

Dikemukakan untuk Pertimbangan oleh,



____________________________________________
(Wan Mohd Suhaimi bin Wan Mohd Zawil Abidin)

Pengerusi
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia
Wilayah Negeri Sembilan
(PWNSDK)


Sekiranya tuan/puan berminat untuk menghulurkan sumbangan kepada persatuan ini, tuan/puan bolehlah berbuat demekian dengan menghantarkan cek di atas nama Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Negeri Sembilan di alamat no 59-2, Ting kat 2, Jalan Toman 4, Kemayan Square, 70200 Seremban, Negeri Sembilan ataupun mengkreditkan sumbangan tuan/puan di akaun Bank Islam Malaysia Berhad di atas nama seperti di atas di nombor akaun: 05012010065731.

Untuk makluman tuan/puan juga, sumbangan tuan/puan yang berjumlah RM100 dan ke atas adalah layak menerima perlepasan cukai.

Kerjasama daripada pihak tuan/puan dalam menghulurkan sumbangan bakti yang tidak terhingga ini, persatuan dahului dengan ucapan berbanyak-banyak terima kasih. Hanya Allah sahajalah yang mampu membalas jasa dan bakti daripada tuan/puan ini. Wallahu a’lam.