Ahad, November 23, 2008

lawatan ahli-ahli persatuan ke Kelantan dan Terengganu

oleh kerana laman blog ini baru diterbitkan, persatuan ingin menceritakan serba sedikit aktiviti yang telah di jalankan sepanjang tahun ini. persatuan ingin memulakan dengan menceritakan berkenaan aktiviti lawatan ke Kelantan dan Terengganu oleh ahli-ahlinya baru-baru ini.

Pada 15 hingga 18 Ogos 2008 yang lalu, Pertis Wilayah Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan ke Negeri Kelantan dan Negeri Terengganu. Seramai 27 orang ahli-ahli Pertis Wilayah Negeri Sembilan telah terlibat secara langsung dengan menyertai lawatan tersebut.

Mereka telah bertolak dari bangunan Pertis Wilayah Negeri Sembilan di Jalan Toman 4 jam 9:00 malam 15 Ogos dan tiba di Pantai Cahaya Bulan (PCB) Resort pada jam 11:00 pagi 16 Ogos iaitu keesokan harinya. Di dalam lawatan tersebut, peserta lawatan telah dibawa bersiar-siar sambil membeli-belah di Kawasan Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor serta di KB Mall. Pada sebelah malamnya, mereka berehat-rehat di Resort sambil menikmati keindahan pantai pada waktu malam.

Pada keesokan harinya iaitu pada 17 Ogos, mereka dibawa pula bersarapan pagi dan membeli-belah di Pasar Siti Khadijah, Pusat Bandar Kota Bharu, Bandaraya Islam. Setelah mereka selesai membeli belah, mereka dibawa pula ke Negeri Terengganu atau lebih tepat di Bandaraya Kuala Terengganu, Bandaraya Pesisir Air.

Di Kuala Terengganu, mereka telah dibawa bersiar-siar di Masjid Terapung dan juga di Masjid Kristal. Namun demekian, Masjid Kristal tidak dapat mereka lawati sepenuhnya memandangkan pada tarikh tersebut, pihak Masjid sedang mengadakan persiapan terakhir bagi mengadakan Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa di sana.

Setelah selesai melawat di kedua-dua buah masjid tersebut, mereka di bawa pula ke Pasar Payang untuk meninjau dan membeli-belah barangan menarik yang ada terjual di sana.

Pada jam 6:00 petang, mereka meninggalkan Kuala Terengganu dan pulang semula ke Negeri Sembilan Darul Khusus. Mereka tiba di Negeri Sembilan jam 5:00 pagi, 18 Ogos 2008.

Secara keseluruhannya, lawatan muhibbah yang diadakan ini mampu mengeratkan tali silaturrahim di kalangan mereka dan memberikan pengetahuan dan gambaran tentang keindahan masjid-masjid khususnya Masjid Kristal yang mereka idam-idamkan untuk mengunjunginya sebelum ini. Di samping itu juga, mereka dapat bergembira dengan sanak famili yang mereka bawa bersama dengan membeli belah dan makan bersama serta dapat menghilangkan penat-lelah walaupun buat seketika setelah sibuk dengan kerja-kerja seharian sama di sekolah, pejabat, kedai mahupun di mana sahaja mereka mencari rezeki. walaupun mereka tidak mempunyai daya penglihatan, namun ia tidak menghalang mereka untuk bergiat dan bersosial sepertimana mereka yang mempunyai penglihatan. wallahu a'lam.

Tiada ulasan: